Assalamualaikum wbt. dan Salam Muafakat Johor,
Perkhidmatan awam negeri Johor telah mula wujud sejak era pemerintahan Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Baginda yang memerintah Johor di antara tahun 1855 sehingga 1862 telah mewujudkan jawatan Pesuruhjaya Muar dan Pesuruhjaya Endau. Pesuruhjaya yang dilantik pada ketika itu bertanggungjawab untuk membantu baginda di dalam urusan pentadbiran dan kewangan negeri Johor.
Pada ketika pemerintahan Sultan Abu Bakar (1862 – 1895), baginda telah mengasaskan Pentadbiran Johor Moden dengan menubuhkan beberapa jabatan kerajaan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Pesuruhjaya Divisyen, Jabatan Perbendaharaan, Pasukan Polis, Jabatan Kerja Raya dan Tanah, Jabatan Laut dan Jabatan Perubatan. Pada ketika itu, pentadbiran negeri Johor muncul sebagai negeri melayu terawal mengasaskan sistem pentadbiran moden berbanding negeri-negeri lain di Tanah Melayu.
Sistem Pentadbiran Johor Moden ini telah diperkukuhkan lagi dengan pemasyuran Perlembagaan Johor yang dikenali sebagai Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895. Di dalam Perlembagaan Johor termaktub pelantikan jawatan-jawatan perkhidmatan awam negeri Johor seperti Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Mufti dan lain-lain jawatan utama perkhidmatan awam. Negeri Johor merupakan negeri pertama di Tanah Melayu yang memiliki Undang-Undang Tubuh Kerajaan berbanding negeri-negeri lain di Tanah Melayu dan ia masih terus diguna pakai sehingga ke hari ini.
Sejajar dengan perubahan zaman dan kemajuan negara, perkhidmatan awam Johor telah berkembang maju seiring dengan pemodenan negara. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Johor telah ditubuhkan berdasarkan Seksyen 4, Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri 1959 dan tertakluk di bawah Perkara 144 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Peranan utama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor adalah untuk menjalankan sesi temu duga serta membuat pelantikan calon-calon yang berjaya ke dalam perkhidmatan awam. Calon-calon yang berjaya akan di lantik bagi mengisi kekosongan jawatan sama ada di dalam kategori Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau Kumpulan Pelaksana.
Pada masa kini, Sistem Teknologi Maklumat berkembang dengan sangat pantas di seluruh dunia. Perkongsian maklumat boleh dilakukan dengan sangat cepat dan mudah. Portal rasmi ini diwujudkan bagi memudahkan pihak suruhanjaya menyampaikan maklumat terkini berkenaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor terutama berkaitan dengan jawatan-jawatan kosong di dalam perkhidmatan awam Johor. Sesi temu duga akan sentiasa dijalankan di pusat temu duga yang telah ditetapkan. Suruhanjaya ini komited untuk memastikan bahawa hanya calon-calon yang terbaik ditawarkan untuk mengisi kekosongan jawatan.
Selamat melayari Portal Rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor. Terima kasih.
|
HAJAH FARHANA BINTI ABDUL MAJID |
|
SETIAUSAHA |
|
SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM JOHOR |
|