PERUTUSAN PENGERUSI

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana Portal Rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor telah dibangunkan dengan jayanya. Portal rasmi ini diwujudkan bagi memudahkan pihak suruhanjaya menyampaikan maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti serta perkembangan terkini Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor kepada pihak pelanggan yang terdiri daripada kalangan masyarakat awam dan juga jabatan-jabatan kerajaan.

 

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor bertanggungajawab sepenuhnya di dalam mengendalikan urusan Pelantikan, Pengesahan Lantikan, Pengesahan Dalam Perkhidmatan, Pemberian Taraf Berpencen, Rayuan Kenaikan Pangkat dan Rayuan Tindakan Tatatertib di kalangan penjawat awam yang berkhidmat di dalam perkhidmatan awam Johor. 

 

Suruhanjaya ini menyedari bahawa perkhidmatan awam adalah tunggak kepada pembangunan masyarakat dan ekonomi negara. Perkhidmatan awam yang berkualiti akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara sekali gus dapat meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat. Pelaksanaan dasar-dasar kerajaan hanya akan dapat direalisasikan melalui sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti dan berkesan. Justeru itu, keberkesanan perkhidmatan awam sangat bergantung kepada sikap, mentaliti dan budaya kerja pegawai-pegawai dan anggota yang berkhidmat di dalam perkhidmatan awam.

 

Cabaran utama suruhanjaya ini adalah untuk memastikan bahawa calon yang dilantik merupakan calon terbaik untuk mengisi kekosongan jawatan sedia ada di dalam perkhidmatan awam Johor. Suruhanjaya ini akan sentiasa komited di dalam menggunakan kaedah dan pendekatan terkini di dalam menjalankan proses penilaian dan temu duga supaya calon yang berjaya dilantik memiliki personaliti,mentaliti dan sikap yang bersesuaian sebagai seorang pegawai dan anggota perkhidmatan awam.  

Semoga dengan kewujudan portal rasmi ini ia akan memberikan banyak manfaat kepada pelanggan terutama bagi rakyat di negeri Johor. 

Sekian, terima kasih.

 

 
Y.B. DATO' HAJI MARSAN BIN KASSIM
 
PENGERUSI
 
SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM JOHOR

 

 

 

PERUTUSAN SETIAUSAHA

Assalamualaikum wbt. dan Salam Muafakat Johor,


Perkhidmatan awam negeri Johor telah mula wujud sejak era pemerintahan Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Baginda yang memerintah Johor di antara tahun 1855 sehingga 1862 telah mewujudkan jawatan Pesuruhjaya Muar dan Pesuruhjaya Endau. Pesuruhjaya yang dilantik pada ketika itu bertanggungjawab untuk membantu baginda di dalam urusan pentadbiran dan kewangan negeri Johor.


Pada ketika pemerintahan Sultan Abu Bakar (1862 – 1895), baginda telah mengasaskan Pentadbiran Johor Moden dengan menubuhkan beberapa jabatan kerajaan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Pesuruhjaya Divisyen, Jabatan Perbendaharaan, Pasukan Polis, Jabatan Kerja Raya dan Tanah, Jabatan Laut dan Jabatan Perubatan. Pada ketika itu, pentadbiran negeri Johor muncul sebagai negeri melayu terawal mengasaskan sistem pentadbiran moden berbanding negeri-negeri lain di Tanah Melayu.


Sistem Pentadbiran Johor Moden ini telah diperkukuhkan lagi dengan pemasyuran Perlembagaan Johor yang dikenali sebagai Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895. Di dalam Perlembagaan Johor termaktub pelantikan jawatan-jawatan perkhidmatan awam negeri Johor seperti Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Mufti dan lain-lain jawatan utama perkhidmatan awam. Negeri Johor merupakan negeri pertama di Tanah Melayu yang memiliki Undang-Undang Tubuh Kerajaan berbanding negeri-negeri lain di Tanah Melayu dan ia masih terus diguna pakai sehingga ke hari ini.


Sejajar dengan perubahan zaman dan kemajuan negara, perkhidmatan awam Johor telah berkembang maju seiring dengan pemodenan negara. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Johor telah ditubuhkan berdasarkan Seksyen 4, Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri 1959 dan tertakluk di bawah  Perkara 144 (1) Perlembagaan Persekutuan.


Peranan utama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor adalah untuk menjalankan sesi temu duga serta membuat pelantikan calon-calon yang berjaya ke dalam perkhidmatan awam. Calon-calon yang berjaya akan di lantik bagi mengisi kekosongan jawatan sama ada di dalam kategori Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau Kumpulan Pelaksana. 


Pada masa kini, Sistem Teknologi Maklumat berkembang dengan sangat pantas di seluruh dunia. Perkongsian maklumat boleh dilakukan dengan sangat cepat dan mudah. Portal rasmi ini diwujudkan bagi memudahkan pihak suruhanjaya menyampaikan maklumat terkini berkenaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor terutama berkaitan dengan jawatan-jawatan kosong di dalam perkhidmatan awam Johor. Sesi temu duga akan sentiasa dijalankan di pusat temu duga yang telah ditetapkan.  Suruhanjaya ini komited untuk memastikan bahawa hanya calon-calon yang terbaik ditawarkan untuk mengisi kekosongan jawatan.

Selamat melayari Portal Rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor. Terima kasih.

 

 
SUFIAN BIN SULEIMAN
 
SETIAUSAHA
 
SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM JOHOR