SEJARAH PENUBUHAN

Sejarah Pembukaan Negeri Johor Darul Ta’zim

Pembukaan negeri Johor bermula pada awal kurun ke-16 apabila Melaka telah ditawan oleh Portugis. Sultan Mahmud Syah yang merupakan pewaris terakhir takhta kerajaan Melaka telah berundur ke selatan Tanah Melayu dan membuka kerajaan Johor. Pada ketika itu, Johor telah meluaskan empayarnya sehingga ke Riau.

Asal usul perkataan Johor diambil daripada perkataan Arab “Jauhar” yang bermaksud “Permata Berharga”. Pengaruh Arab jelas kelihatan di mana para pedagang dari Arab telah datang ke sini untuk menjalankan perniagaan rempah yang sememangnya terkenal pada suatu ketika dahulu. Johor juga dikenali sebagai Hujung Tanah atau “Gangganu” oleh orang-orang Siam yang bermaksud “Batu Permata”.

 

Berikut merupakan senarai nama-nama Sultan Johor:

Bil

Nama

Tempoh

1.

Sultan Mahmud Shah

1511 - 1528

2.

Sultan Alaudin Riayat Shah II (Raja Ali)

1528 - 1564

3.

Sultan Muzaffar Shah II

1564 - 1570

4.

Sultan Abdul Jalil Shah I

1570 - 1571

5.

Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II

1571 - 1597

6.

Sultan Alauddin Riayat Shah III

1597 - 1615

7.

Sultan Abdullah Ma'ayat Shah

1615 - 1623

8.

Sultan Abdul Jalil Shah III

1623 - 1677

9.

Sultan Ibrahim Shah

1677 - 1685

10.

Sultan Mahmud Shah II

1685 - 1699

11.

Sultan Abdul Jalil IV

1699 -1720

12.

Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah

1718 - 1722

13.

Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah

1722 - 1760

14.

Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah

1760 - 1761

15.

Sultan Ahmad Riayat Shah

1761 - 1812

16.

Sultan Mahmud Shah III

1761 - 1812

17.

Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah

1812 - 1819

18.

Sultan Hussain Shah (Tengku Long)

1819 - 1835

19.

Sultan Ali (Tengku Ali)

1835 - 1877

20.

Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim

1855 - 1862

21.

Sultan Abu Bakar

1862 - 1895

22.

Sultan Ibrahim

1895 - 1959

23.

Sultan Ismail

1959 - 1981

24.

Sultan Iskandar

1981 - 2010

25.

Sultan Ibrahim

2010 - sekarang

 

Pentadbiran Johor Moden

Sejarah Pentadbiran Johor Moden telah bermula di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar (1862-1895). Baginda telah ditabalkan menjadi sultan pada tahun 1866 dan seterusnya memegang gelaran “Seri Maharaja Johor”.

Baginda telah mengasaskan Pentadbiran Johor Moden dengan menubuhkan beberapa jabatan kerajaan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Pesuruhjaya Divisyen, Jabatan Perbendaharaan, Pasukan Polis, Jabatan Kerja Raya dan Tanah, Jabatan Laut dan Jabatan Perubatan. Pada masa inilah pentadbiran negeri Johor muncul sebagai negeri melayu terawal mengasaskan sistem pentadbiran moden berbanding negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Pembinaan bangunan-bangunan kerajaan seperti balai polis, masjid, mahkamah dan istana besar jelas membuktikan bahawa Sultan Abu Bakar berhak menerima gelaran sebagai “Bapa Pembangunan Johor”.

Sistem Pentadbiran Johor Moden ini telah diperkukuhkan lagi dengan perisytiharan Perlembagaan Johor yang dikenali sebagai Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895. Pelantikan jawatan-jawatan utama di dalam perkhidmatan awam negeri Johor adalah berdasarkan Fasal 6 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895. Jawatan-jawatan tersebut adalah seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Perlembagaan Johor ini masih berkuatkuasa dan digunapakai sehingga ke hari ini.

Sejarah Penubuhan Perkhidmatan Awam Negeri Johor

Sejarah Perkhidmatan Awam Negeri Johor sebenarnya telah wujud sejak era pemerintahan Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim (1855-1862). Baginda yang memerintah Johor pada ketika itu telah mewujudkan jawatan Pesuruhjaya Muar dan Endau. Tugas utama jawatan ini adalah untuk membantu baginda di dalam urusan pentadbiran dan kewangan negeri Johor.

Selepas perisytiharan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, Sultan Ibrahim telah membentuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor dengan pelantikan pegawai-pegawai baru pada tahun 1895. Di antaranya ialah Dato’ Muhammad Ibrahim Bin Munsyi Abdullah, Dato’ Bentara Dalam; Dato’ Mohamed Hassan Bin Dato’ Sri Setia Raja Tahir . Dato’ Jaafar Muhammad terus dikekalkan sebagai Menteri Besar Johor manakala Engku Suleiman Bin Engku Daud sebagai Pesuruhjaya Negeri dalam Jajahan Muar. Dato’ Mohamed Mahbob dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Johor. Encik Ismail Bin Bachok menjadi Pesuruhjaya Polis di Muar. Jawatan baru telah diwujudkan seperti Ketua Perbendaharaan, Pesuruhjaya Ketua Polis Negara, Ketua Audit Negeri, Komandan Penjara dan akhirnya Ketua Jabatan Kerja Raya Johor.


Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor ditubuhkan berdasarkan Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Kerajaan Negeri Tahun 1959 dan tertakluk kepada Perkara 144 (1) Perlembagaan Persekutuan. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor merupakan Pihak Berkuasa Melantik yang bertanggungjawab sepenuhnya bagi mengendalikan urusan-urusan seperti Pelantikan, Pengesahan Pelantikan, Pengesahan Dalam Perkhidmatan, Pemberian Taraf Berpencen, Rayuan Kenaikan Pangkat dan Rayuan Tindakan Tatatertib. Pengerusi dan Ahli-Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor dilantik dengan perkenan DYMM Sultan Johor. Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor 1959 telah melalui beberapa pindaan bagi menyesuaikannya dengan keadaan semasa serta sejajar dengan kemajuan dan pemodenan negara.